Haradzana Awang 39, nyaris menjadi mangsa penipuan melalui laman sosial apabila sanggup membayar wang berjumlah RM2,350 yang diminta seorang kenalan baru kononnya bagi membantu menyelesaikan masalah penghantaran kurier
Ia mendakwa kes penipuan bermula apabila dia menerima satu pesanan ringkas berbahasa Inggeris di laman sosial miliknya daripada seorang lelaki dari United Kingdom bernama Herry James yang ingin berkenalan dengannya, 30 Ogos lalu.
Menurut Haradzana, Henrry James kerap berbalas pesanan ringkas di laman sosial Facebook dan ada kalanya menyatakan minatnya yang begitu mendalam untuk berkawan dengannya.
“Pada awalnya saya tidak berprasangka buruk memandangkan setelah beberapa hari berbalas mesej dan dan apabila saya memberitahu status yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, Henrry tetap ikhlas mahu berkawan.
“Selang beberapa hari berkawan, saya sudah mula curiga sedikit apabila dia mula menyebut perkataan seolah-olah ingin menjadikan saya kekasihnya dan tiba-tiba berhasrat memberikan hadiah berupa sebiji telefon bimbit jenama Iphone dan sejumlah wang bernilang USD7,000 bersamaan RM23,017.40.
“Walaupun saya bertegas menolak pemberian tersebut namun kata-katanya begitu manis hinggakan saya hampir-hampir terpedaya menerimanya,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, dekat sini.
Dalam pada itu katanya, selepas lelaki berkenaan mengirimkan barang dia mula berhadapan dengan sekatan dan mendakwa hadiah dikirimkan tidak dapat dilepaskan Jabatan Kastam sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Hennry mula meminta saya membantu sekiranya ingin hadiah tersebut sampai, saya perlu buat pembayaran bagi memudahkan agen kurier yang dilantik menguruskannya.
“Pada peringkat awal dia menyuruh saya memasukan wang sebanyak RM350 ke akaun sebuah bank dan kemudiannya masih tidak mencukupi dan meminta ditambah RM2,000 ke akaun bank yang lain pula.
“Saya nyaris-nyaris ingin membayar memikirkan kebaikannya menghadiahkan saya barang, patut dibantu namun setelah melihat menggunakan akaun yang berbeza hasrat saya terbantut,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu katanya, menyedari perkara tersebut agak merumitkan lantas dia membuat aduan di pusat khidmat masyarakat Dun Semambu, dan mereka cuba menghubungi agen kurier dan Henrry untuk pengesahan namun tidak berjaya.
“Kami buat panggilan untuk mendapatkan pengesahan tetapi tidak berjawab dan seolah mereka sudah tahu kami dapat menghidu perbuatannya.
“Dalam masa yang sama membuatkan saya lega memandangkan nyaris-nyaris tidak menjadi mangsa penipuan internet.
“Ternyata sejak akhir-akhir ini banyak kes penipuan datang daripada pelbagai cara dan saya minta orang ramai berwaspada serta tidak melayan e-mel yang tidak dikenali termasuk di Facebook,” katanya.
No comments:
Post a Comment